Suatu ketika dulu, wajahnya sering kali menghiasi kaca televisyen mahupun layar perak. Namun, sejak akhir-akhir ini, gadis berusia 27 tahun ini seakan hilang daripada dunia seni.
Malah ramai tertanya-tanya ke mana perginya pemilik nama Ainul Aishah ini. Ketika berada di sesi fotografi bersamanya dan keluarga di premis perniagaan, Tutti Frutti miliknya di Bandar Baru Bangi, Zass mengambil peluang mendalami rahsia hati gadis manis ini.
Mengimbas kembali perjalanan seninya, Ainul berkata, ia bermula sejak beliau berusia 14 tahun lagi. Pada waktu itu, ibunya sering memberikan sokongan kepadanya melibatkan diri dalam bidang nyanyian. Di sekolah lagi, gadis manis ini turut terlibat mengadakan persembahan. Beliau menyumbangkan suara di majlis keraian dan majlis korporat di sekitar tempat tinggalnya.
Pun begitu, bakatnya dilihat lebih menyerlah dalam bidang lakonan. Lamaran daripada penerbit dan pengarah terkenal, Profesor Madya Razak Mohaideen, membuka peluang kepadanya untuk mengorak langkah lebih jauh dalam bidang itu.
Bahkan, kemunculannya dalam filem Nana Tanjung, bergandingan bersama pelakon terkenal, Fasha Sandha, dilihat sebagai tiket baginya untuk mendapat tempat lebih baik dalam bidang lakonan.
Masih terbayang di matanya saat pertama kali bertemu dengan Razak. Meski pun ia sudah berlalu, namun bagi Ainul, kenangan manis itu tidak akan dapat dilupakan.
“Ketika itu, saya bersama ibu dan ayah sedang makan di sebuah restoran di Pulau Pinang, tiba-tiba kami sekeluarga didatangi Prof Razak. Dia memberikan nombor telefonnya kepada saya.
“Katanya, dia sedang mencari seorang pelakon untuk filem baru. Bagaimanapun, saya mengambil masa yang agak lama untuk menghubunginya, lebih kurang tiga minggu dan kemudian bersetuju untuk melibatkan diri di bawah produksinya,” ujarnya ramah.
Keluarga beri sokongan
Ditemani ayah, Azizun Abdul Karim, 57, dan ibunya, Normadiah Mohamed Kunju, 56, sewaktu sesi fotografi berlangsung, Ainul berkata beliau beruntung kerana kedua orang tuanya sentiasa memberi sokongan padu kepada kegiatannya itu.
Ditanya mengenai pembabitan Ainul dalam bidang seni, Azizun berkata, dia tidak kisah apabila Ainul memilih bidang tersebut sebagai kariernya.
“Dalam keluarga kami, hanya Ainul dan kakaknya yang mempunyai bakat dalam bidang seni. Kelebihan yang ada padanya membuatkan dia pergi lebih jauh dalam bidang ini.
“Walaupun saya dan isteri tidak pernah menduga dia akan menjadi seorang selebriti, kami tetap menyokong bidang yang dipilihnya sepenuh hati. Apa yang penting, dia pandai menjaga maruah diri dan keluarga,” katanya, yang turut disokong Normadiah.
Azizun bersyukur kerana biarpun Ainul masih muda, anaknya itu sentiasa memikirkan masa hadapannya.
“Alhamdulillah, kehidupan kami lebih senang sekarang. Keputusannya untuk membuka perniagaan ini nampaknya berjaya dan membawa keuntungan.
“Lama juga saya fikirkannya. Apabila saya tidak setuju, dia meminta ibunya memujuk saya. Akhirnya, saya memberi peluang kepadanya,” ujarnya, bangga dengan pencapaian Ainul.
Turut serta dalam sesi fotografi itu, kakaknya, Noor Azadiah, 29, dan adiknya, Muhamad Azizuddin, 24, serta Azri Muzani, 20.
Fokus perniagaan
Sepi daripada dunia lakonan tidak bererti Ainul sudah melupakan minatnya terhadap bidang itu. Tetapi baginya, dia lebih senang memberikan perhatian kepada perniagaan Tutti Frutti yang diusahakannya bersama keluarga sejak setahun lalu.
“Buat masa sekarang, saya memang berhenti daripada dunia lakonan. Saya tidak yakin mampu memberikan komitmen kepada perniagaan sekiranya masih bergelar pelakon.
“Lagi pun, perniagaan saya masih di peringkat awal. Tidak elok rasanya saya biarkan ia terus di bawah seliaan keluarga sahaja.
“Saya yang beria-ia memulakannya, jadi lebih elok saya pastikan ia stabil terlebih dahulu, kemudian barulah saya boleh berfikir untuk kembali ke pentas lakonan,” kata anak kedua daripada empat beradik ini.
Jelas Ainul, sebagai anak seni, beliau masih sedia menerima tawaran lakonan jika ia melibatkan filem atau telefilem.
“Kalau ada tawaran untuk drama bersiri, saya tidak akan ambil kerana penggambarannya memakan masa panjang. Filem atau telefilem lebih mudah,” katanya.
Ainul juga turut membintangi filem, Untuk Tiga Hari terbitan Tarantella Pictures arahan Afdlin Shauki yang akan menjengah pawagam, tahun ini.
Hati milik Ben Daniel
Berkongsi mengenai cerita peribadinya pula, Ainul berkata, sebelum ini beliau pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan pemain bass kumpulan underground, Ojoe dan mengakui sudah mempunyai insan istimewa di hatinya masa ini.
Menurut Ainul, dia semakin selesa bersama jejaka yang bernama Ben Daniel. Jelasnya, hubungan mereka yang terjalin dua tahun itu diharap sampai ke jinjang pelamin.
“Mungkin masih awal bagi kami berbincang mengenai perkahwinan. Saya doakan hubungan kami mampu pergi lebih jauh. Syukur keluarga saya sangat menyukainya.
“Dia pandai mengambil hati keluarga saya, malah saya tidak pernah bimbang untuk membawanya bercuti bersama kami sekeluarga kerana peribadinya. Dia baru sahaja menamatkan pengajian dan saya merancang untuk menamatkan zaman bujang sebelum usia mencecah 30 tahun.
"Masih ada beberapa tahun untuk saya dan dia pergi ke peringkat lebih serius,” katanya yang berkenalan dengan Ben melalui seorang teman.
Sementara itu, bapanya turut mengakui tidak pernah meletakkan sebarang syarat bagi anaknya itu memilih calon suami.
“Saya tidak kisah dengan pilihannya. Yang penting, dia mampu menjaga Ainul dengan baik, selain menghormati keluarga kami.
"Saya gembira kerana dia telah menggembirakan kehidupan anak saya,” katanya mengakhiri perbualan.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment